antara GRO wanita asing yang ditahan dalam serbuan di pusag hiburan di ibu negara Selasa lalu.Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Seramai 32 wanita yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan dalam serbuan Op Noda di pusat hiburan di Taman Miharja dan Taman Shamelin, di sini, yang dilakukan secara serentak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, ketika serbuan, terdapat pengunjung yang leka berkaraoke selain beberapa GRO cuba bersembunyi bagi mengelak daripada dicekup.

“Hasilnya, pasukan serbuan berjaya menahan seramai 32 wanita warga asing disyaki berkhidmat sebagai GRO di pusat hiburan itu selain dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis tersebut.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya membuat tangkapan ke atas 16 GRO Wanita warga Vietnam dan seorang penjaga premis manakala dalam serbuan kedua kita berjaya menangkap seramai 10 lagi wanita GRO warga Thailand serta enam Vietnam selain seorang penjaga premis,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Habibi, siasatan mendapati pusat hiburan itu menawarkan khidmat GRO wanita asing kepada pelanggan dengan bayaran tip antara RM100 hingga RM500 untuk mendapatkan minuman dan berhibur.

Tambah beliau, kesemua wanita asing yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial di negara ini.

“Sepanjang serbuan itu, polis turut melakukan pemeriksaan terhadap 53 individu membabitkan pekerja dan juga pelanggan premis hiburan tersebut.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti pasukan serbuan adalah pusat hiburan itu dipercayai beroperasi tanpa lesen selain didapati menggajikan pekerja asing tanpa permit sah,” ujarnya.

Habibi berkata, kesemua mereka ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992. – MalaysiaGazette