Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dasar pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia ada akan dikekalkan, kata Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Beliau berkata, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar ini dalam mesyuarat Senat UiTM
mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

“Pendirian ini adalah sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut menekankan komitmen kerajaan terhadap objektif asal penubuhan UiTM,” katanya yang juga Pengerusi Senat UiTM dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mahu UiTM membuka sementara kemasukan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada bukan bumiputera demi kepentingan negara.

Persatuan doktor terbesar di negara itu memetik kenyataan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, yang merupakan Ahli Lembaga Pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan kerjasama antara UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) yang menyebut pindaan perundangan tidak diperlukan untuk UiTM, yang ditubuhkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, untuk menerima kemasukan pelajar bukan bumiputera.

Dr Raja Amin, yang merupakan perunding kanan pakar bedah kardiotoraks di Jabatan Pembedahan Kardiovaskular dan Toraks di Fakulti Perubatan UiTM  berkata, sayap swasta universiti awam atau program pascasiswazah merupakan laluan alternatif untuk pelajar antarabangsa.

Susulan itu, Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata: “Jika UiTM boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, kami tidak nampak mengapa ia tidak boleh membuka kepada semua rakyat Malaysia, atas dasar keperluan.

Menurut Shahrin, UiTM akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 yang menyatakan universiti itu ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan terus menjalankan misi dan visi institusi ini untuk memperkasakan Bumiputera,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau menyeru semua mahasiswa untuk fokus kepada pelajaran dan menggunakan masa di universiti dengan bijak bagi mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang
mencabar.

Katanya, ia merupakan perjuangan hakiki seorang mahasiswa untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat serta membuktikan cinta kepada agama, bangsa, dan tanah air.

Tambah Shahrin, UiTM komited untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan Bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti, sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette