SHAH ALAM – Kempen pakai baju hitam yang dilancarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mendapatan sambutan baik daripada pelajar universiti awam itu.
Yang Dipertua MPP UiTM, Amir Nur Rashid Lizam berkata, kempen itu dijalankan hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam, terutamanya mahasiswa mengenai status quo dan hak pendidikan UiTM untuk golongan bumiputera.
Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Mohamad Zaim Hamdan berkata, sebagai pelajar, dia memberi sokongan penuh dengan memakai baju hitam hari ini.
“Pada pendapat saya, kita perlu kembali kepada tujuan asal penubuhan UiTM yang termaktub dalam Peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu untuk meningkatkan taraf pendidikan bumiputera,” katanya.
Turut memberi pandangan, Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Aiman Ramani, dia bersetuju untuk memelihara hak UiTM untuk mereka yang selayaknya.
“Jika golongan bukan bumiputera diterima masuk, hilanglah keistimewaan bumiputera,” tambah beliau.
Pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Nur Adriana Nayli Muhammad Khairul pula mengatakan hampir keseluruhan rakan-rakan sekelasnya memakai baju hitam untuk kemuncak kempen hari ini.
“Walaupun bantahan dijalankan secara aman, kebanyakan menunjukkan sokongan kepada kempen ini kerana kami bersetuju UiTM perlu dipelihara untuk bumiputera,” jelasnya.
Kempen ini bukan sahaja mencapai pengetahuan mahasiswa, tetapi juga kalangan ibu bapa pelajar UiTM sendiri.
Menurut seorang lagi Pelajar KPSK, Siti Farhaini Mohd Azman, ibunya telah menghantar satu pautan media sosial mengenai kempen pakai baju hitam ini kepadanya semalam.
“Ibu saya mencadangkan saya untuk turut serta kerana dia juga bersetuju pemeliharaan keistimewaan UiTM untuk golongan yang selayaknya,” ulasnya.
Terdahulu, tular mengenai cadangan untuk menerima pelajar bukan bumiputera namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah sahaja.
Bagaimanapun, UiTM telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan teguh berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya akan menerima pelajar bumiputera sahaja. – MalaysiaGazette