KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada tahun 2023 merekodkan peningkatan perlahan kepada 2.5 peratus (2022: 3.3%) dengan mata indeks mencatatkan 130.4 berbanding 127.2 pada tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata, inflasi bagi kumpulan utama pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan kecuali komunikasi (-3.0%), peningkatan yang tertinggi dicatatkan oleh restoran & hotel sebanyak 5.6 peratus.

Ini diikuti oleh kumpulan makanan & minuman (4.8%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.4%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.3%); kesihatan (2.2%); pendidikan (1.9%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.7%); perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.5%); pengangkutan (1.1%); minuman alkohol & tembakau (0.6%) dan pakaian & kasut (0.3%).

Inflasi teras meningkat 3.0 peratus pada tahun 2023 kadar yang sama seperti yang dicatatkan pada tahun 2022.

Antara kumpulan yang mendorong kepada peningkatan ini adalah kumpulan makanan & minuman (5.8%), restoran & hotel (5.6%) dan pengangkutan (4.4%).

Manakala, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.7 peratus pada tahun 2023 (2022: 3.3%).

Kumpulan restoran & hotel merupakan penyumbang utama kepada peningkatan sebanyak 5.7 peratus, diikuti oleh makanan & minuman (4.1%); hiasan, perkakasan &  penyelenggaraan isi rumah (2.8%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3%) dan kesihatan (2.1%).

Kesemua negeri menunjukkan peningkatan perlahan dalam inflasi yang mana lima negeri melepasi paras inflasi nasional 2.5 peratus pada tahun 2023.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.4%), diikuti oleh Sarawak (3.1%), Selangor (2.9%), Perak (2.8%) dan Pahang (2.6%), Labuan merekodkan inflasi terendah 1.6 peratus.

Inflasi di kawasan bandar mereda kepada 2.6 peratus (2022: 3.6%) manakala inflasi di kawasan luar bandar meningkat 2.1 peratus (2022: 2.6%).

Menurutnya, inflasi di negara-negara ASEAN menunjukkan peningkatan antara 0.4 peratus hingga 31.2 peratus pada tahun 2023.

Laos mencatatkan inflasi tertinggi iaitu 31.2 peratus, manakala Brunei mencatatkan inflasi terendah pada 0.4 peratus.

Enam negara mencatatkan kadar inflasi yang lebih tinggi dari Malaysia (2.5%) iaitu Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Manakala Kemboja, Thailand dan Brunei merupakan tiga negara yang merekodkan kadar inflasi lebih rendah berbanding Malaysia. – MalaysiaGazette