JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan kecederaan atlet kayak kebangsaan, Sabtu lalu.
Tertuduh, R. Dhinesh, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah kereta Toyota Vios dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada Siti Nurul Masyitah Md. Elias.
Kemalangan berlaku di Kilometer 3.5 Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), di sini, pada pukul 4.19 petang 11 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.
Selain itu tertuduh juga akan hilang kelayakan memandu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor S. Vikineswary.
Sementara itu mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Skudai setiap bulan.
Nur Fatin turut menetapkan 24 Jun depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette