KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegur institusi perbankan di negara ini agar lebih cakna dalam soal pemindahan wang daripada seseorang individu ke dalam akaun sesebuah syarikat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberikan teguran itu susulan wujudnya kes penipuan pelaburan tidak wujud yang semakin berleluasa membabitkan akaun syarikat di negara ini.
“Bank perlu kenal pelanggan, tahu apa urusan dan bagaimana transaksi boleh dilakukan. Syarikat itu sendiri pun dicurigai nama, bagaimana pihak bank melaksanakan verifikasi terhadap syarikat tersebut sebelum akaun bank dibuka selain memanggil dan mengesahkan kewujudan ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat tersebut.
“Nama syarikat pun fancy. Begitu mudahnya akaun dibuka sehinggakan duit-duit disalurkan dan menjadi keldai akaun,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini jenayah komersial di Menara KPJ hari ini.
Tambah Ramli, pada 6 Mei lalu, polis telah menerima laporan polis di Petaling Jaya daripada seorang ahli perniagaan yang didakwa ditipu dalam skim pelaburan dalam talian yang mengakibatkan kerugian RM1.73 juta.
Dalam kejadian pada Mac lalu, seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun itu mendakwa telah tertarik dengan iklan skim pelaburan ‘pasaran saham’ di Facebook.
“Pengadu seterusnya telah menekan pautan yang diberikan dan disambungkan kepada seorang lelaki yang kemudiannya memberi penerangan berkaitan skim pelaburan tersebut.
“Pengadu dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dan diarahkan membuka akaun pelaburan di Platform Parity Asset Management (Singapore) Pte Ltd.
“Pengadu kemudian telah membuat lapan pindahan wang ke beberapa akaun bank syarikat yang diarahkan dengan jumlah wang keseluruhan RM1.73 juta untuk urusniaga pasaran saham berasaskan emas,” ujarnya.
Tegas Ramli, pengadu kemudian mencurigai kesahihan pelaburan itu apabila diarahkan membuat pelbagai bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh,” katanya.
Polis membuka kertas siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette