Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian di sebuah kondominium mewah.

GEORGE TOWN – Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian di sebuah kondominium mewah pada Selasa lalu.

Tertuduh, Lim Wei Hong, 19; Ooi Kah Chun, 20; dan Ng Cheng Boon, Kevin Lee Kai Wen, Ryan Lim Wei En yang masing-masing berusia 30 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didakwa secara bersama-sama mempromosi permainan judi dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram menerusi sebuah laman sesawang di Kondominium The View, Jalan Bukit Gambir pukul 11.30 malam pada 14 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 serta hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, kesemua tertuduh juga berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, jika disabitkan bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil dan kesemua tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.

Ketika prosiding, Syairah Atikah menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh, bagaimanapun Mahendran merayu agar jaminan lebih rendah dikenakan kepada anak guamnya.

“Kesemua tertuduh mempunyai tanggungan dan mereka antara mereka bekerja sebagai penghantar makanan, jurujual dan ejen hartanah dengan pendapatan serendah RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

“Selain itu, dua daripada tertuduh telah berkahwin yang mana seorang daripada mereka iaitu Lim Wei En mempunyai bayi berusia tujuh bulan,” kata Mahendran.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast