Tangkap layar menunjukkan penganjuran acara Speed Dating yang didakwa berlangsung di ibu negara tular di media sosial sejak dua hari lalu.

GEORGE TOWN – Agama Islam tidak merestui perbuatan atau penganjuran ‘speed dating’ antara teruna dan dara kerana ia lebih banyak keburukan serta mudaratan berbanding kebaikan.

Demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor ketika diminta mengulas tular sebuah video memaparkan penganjuran speed dating di sebuah kafe di ibu negara yang disertai pemuda serta wanita dengan alasan mahu mencari pasangan hidup.

Menurut Wan Salim, orang yang berakal waras tidak mungkin merestui hubungan yang menggugat pembangunan masyarakat sekali gus menjurus kepada keruntuhan umat.

Jelas beliau, bayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya seorang pemuda mahu mengadakan hubungan intim dengan gadis dikenali menerusi speed dating kemudian meninggalkannya dengan alasan gadis berkenaan tidak sesuai dijadikan pasangan hidup.

“Pemuda yang sering melakukan janji temu sebegini akan mendapati bahawa tujuan sebenarnya bukan mahu mendirikan  rumahtangga secara sah dengan gadis yang digodanya, tetapi hanya mahu berhibur dan berseronok semata-mata.

“Lebih parah ada yang ingin mempengaruhi si gadis kenalannya ke arah melakukan maksiat dan jika gadis berkenaan hamil, pemuda itu menafikan kehamilan adalah disebabkan oleh perbuatannya.

“Mungkin ada pula yang ‘menangguk di air keruh’ dengan mengugut akan mendedah rahsia ketelanjuran yang berlaku kepada orang ramai dengan tujuan menjatuhkan maruah si gadis yang menjadi mangsa kebejatannya,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak-anak gadis terutama yang beragama Islam supaya sentiasa berhati-hati terhadap pemuda kasanova.

“Peliharalah kehormatan diri dan nama baik keluarga masing-masing dan jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan pujuk rayu ‘kumbang’ yang hanya ingin ‘menghisap madu’ serta meninggalkan bunga itu apabila ia terkulai layu.

“Saya juga ingin mengingatkan golongan pemuda agar tidak menjadikan anak-anak gadis yang naif sebagai mangsa nafsu serakah mereka.

“Jika berkenan di hati maka masuk meminang gadis itu dengan cara yang sopan serta bersesuaian dengan hukum agama dan adat resam bangsa,” katanya.

Speed dating merupakan acara  popular di negara Barat yang memberi ruang kepada pasangan bujang mencari jodoh dengan mengadakan janji temu kononnya untuk berkenalan bagi mencari keserasian.

Setiap wanita akan diberi masa untuk duduk berbual serta berkenalan bersama seorang lelaki dalam tempoh tertentu dan selepas tamat masa, peserta lelaki lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita berkenaan sehingga mereka menemukan pasangan yang sesuai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast