Akmal Saleh.-Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO akan mempertahankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk pendidikan bumiputera sahaja.

Ketuanya, Dr. Mohd. Akmal Saleh meminta tidak ada mana-mana pihak untuk mendesak supaya UiTM kepada bukan bumiputera.

“Jangan ganggu UiTM, UiTM kekal milik bumiputera dulu, kini dan selamanya. Bila kita mempertahankan hak, kita tak pernah ambil hak orang lain. Kita tak pernah rampas hak kaum lain. Malah kita bantu lagi.

“Menteri (Pengajian Tinggi) sudah keluarkan kenyataan bahawa tiada langsung perbincangan hendak buka UiTM kepada bukan bumiputera.

“Maka kita akan kekal begitu sampai bila-bila insya-Allah. Apa masalah nak ganggu orang bumiputera punya hak ini?” soalnya dalam satu perkongsian video di media sosial.

Ucapan Dr Akmal tersebut dibuat ketika merasmikan Program Kesukarelawan Antarabangsa UiTM di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau, Melaka hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, banyak lagi universiti selain UiTM yang boleh menawarkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks.

“Kalau mereka kata bahawa kita hendak buat program ini adalah kardiotoraks memang betul dalam negara program kardiotoraks kurang, tak salah.

“Bukalah dekat UiTM tapi kita ambilah doktor-doktor bumiputera, takkan tak ada doktor-doktor bumiputera? Kalau kata ada doktor yang bukan bumiputera yang nak buat kardiotoraks kenapa nak kacau UiTM? Kita ada UKM, kita ada UM. Bagi dekat sana,” katanya.

Dr Akmal berkata, UiTM merupakan universiti yang unik dan kemasukannya hanya dibuka kepada bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, beliau akan mempertahankan UiTM sebagai ‘milik’ bumiputera.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini mempertahankan UiTM hanya untuk pelajar Bumiputera sejajar dengan Fasal 1A, Akta UiTM (Akta 173) yang mana universiti itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast