KUANTAN – Tidak sampai setahun menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), arwah Muhamad Syafiq Ahmad Said berhasrat mengembangkan kariernya dengan menyambung semula pengajiannya dalam bidang forensik.
Bapa kepada Muhamad Syafiq, Ahmad Said Md Piah berkata, anak lelakinya pernah menyuarakan hasrat untuk menghabiskan pengajian setelah menangguhnya kerana mendapat tawaran menyertai PDRM.
”Arwah ada satu semester lagi dan cadangnya nak sambung dan habiskan pengajian pada tahun depan. Dia dah ambil ijazah dari universiti swasta selepas ambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
”Dapat tawaran PDRM terus kerja kerana dengar nasihat pakcik dan yakinkan dia untuk sambung semula kerana bukan mudah dapat kerja.
”Syafiq memang minat dalam bidang forensik lagi pun bidang ambil kena dengan kerja dia, dia pun ada rancang kenaikan jawatan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Ahmad Said, 65, menyifatkan kehilangan anak ketujuh dari lapan beradik itu satu jihad lebih-lebih lagi ketiga bertugas.
Menurutnya, arwah ditugaskan untuk meronda pada malam kejadian namun dipanggil ke balai untuk meneruskan tugas.
”Reda dengan ketentuan hendak buat macam mana bila sampai masa, hendak tak nak kena terima benda kenyataan. Masa polis hubungi ingatkan scammer, tetapi rupanya betul,” katanya hiba.
Ahmad Said berkata, kali terakhir beliau bertemu Muhamad Syafiq pada Mac lalu iaitu sebelum Ramadan kerana anaknya itu pulang bercuti selama seminggu.
Tambahnya, arwah memaklumkan akan pulang pada Julai atau Ogos depan akibat tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri lalu kerana bertugas.
Jenazah Muhamad Syafiq dijangka dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kuantan esok setelah selesai proes bedah siasat yang dilakukan di Johor.
Tambah Ahmad Said, urusan pengecaman jenazah dibuat kedua abang Muhamad Syafiq, Amirzua dan Abdul Salam di Jabatan Forensik Hospital Ismail pada petang tadi.
Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.54 pagi tadi, dua pegawai polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang dengan bersenjatakan parang.
Kedua-dua mangsa, Muhamad Syafiq ketika betugas dilaporkan ditembak di bahu dan perut manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera dikenali Koperal Mohd Hasif Roslan. – MalaysiaGazette