Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya memerlukan masa untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik mengharungi Liga Super musim ini.

Menurutnya, anak buahnya bergelut dengan tahap kecergasan masing-masing dan memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan momentum terbaik.

Ia dapat dilihat selepas Sabah dilihat sedikit bergelut dengan prestasi sehingga mereka terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Penang FC dalam perlawanan minggu pertama Liga Super di Stadium Likas.

Bagi Kim Swee, sudah pasti ia bukan suatu keputusan yang diinginkan lebih-lebih lagi beraksi di halaman sendiri namun beliau optimis anak buahnya mampu memperagakan aksi yang lebih baik menentang Kelantan Darul Naim FC nanti.

“Mana-mana jurulatih pun tidak akan berpuas hati dengan satu mata tapi saya percaya kita akan buat lebih baik dalam perlawanan menentang Kelantan nanti” jelas beliau.

Tambahnya lagi, penyerang import kelahiran Brazil, Ramon Machado de Macedo mungkin tidak dapat turun beraksi disebabkan kecederaan yang dialaminya.

“Setakat ini, Ramon Machado masih mengalami kecederaan” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 53 tahun itu tetap yakin skuad The Rhinos mampu bangkit memperagakan aksi yang lebih baik dalam pertemuan menentang pasukan KDN FC di Kota Bharu nanti.

“Untuk pertemuan ini, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk mendapatkan tiga mata pertama kami” tambahnya lagi.

Sabah akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV untuk berdepan KDN FC dalam perlawanan yang akan berlangsung hari ini. – MalaysiaGazette