Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berucap pada Wacana Intelektual: Kepimpinan Mahasiswa MADANI Pasca Pindaan AUKU 2023, di EDC-UUM.

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang diluluskan Dewan Rakyat akan memberi ruang dan peluang lebih besar kepada penuntut dalam kegiatan kampus sejajar usaha untuk memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, mahasiswa yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan holistik perlu dilahirkan supaya dapat mencapai objektif itu.

“Saya percaya bahawa agenda pemerkasaan mahasiwa yang dilaungkan para pemimpin mahasiswa, merangkumi pelbagai inisiatif dan strategi yang menuntut hak, keadilan dan penyertaan aktif mahasiswa di institusi pendidikan tinggi.

Justeru katanya, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971), Rang Undang-undang AUKU (Pindaan) 2023, berkenaan aktiviti kutipan wang badan pelajar, memberikan autonomi kewangan kepada mahasiswa untuk memudahkan dan mempercepatkan prosedur kewangan dalam mengurus badan pelajar.

“Saya doakan selepas pindaan AUKU, MPP dan badan pelajar akan lebih keterlihatan, aktif, mencapai tahap kecemerlangan, kreatif dan inovatif selaras dengan kepimpinan masyarakat madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Intelektual: Kepimpinan Mahasiswa Madani Pasca Pindaan AUKU 2023, di EDC-UUM.

Sementara itu Pengarah Program, Muhammad Danish Itqan Azli berkata, program ini melibatkan seluruh badan pelajar di UUM bersama pihak pengurusan universiti bagi memahami tentang pindaan AUKU yang dilakukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Program ini diharapkan dapat mengurangkan jurang antara badan pelajar dan pihak pengurusan tertinggi universiti, sekali gus dapat menjadikan UUM sebagai salah sebuah universiti yang disegani dengan sistem pengurusan yang cemerlang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast