KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerima Anugerah Projek Pembangunan Cemerlang 2024 bagi kategori Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) semalam.
Ia dianugerahkan pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP) ke-47 yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan bermakna buat PUNB dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek CSR tersebut.
“Kami sangat berterima kasih kepada CelcomDigi atas kerjasama yang julung kali diadakan dan kepada warga kerja yang memberikan komitmen jitu bagi memastikan kelancaran program bermula dari proses perancangan hingga ke pelaksanaan.
“Projek PUNB CelcomDigi – Let’s Give Back bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban penduduk kampung tetapi untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tanggungjawab sosial korporat dalam komuniti.
“Melalui projek ini, PUNB dan CelcomDigi telah berjaya menunjukkan bahawa kerjasama strategik antara sektor korporat dan komuniti boleh membawa impak positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Izwan mewakili PUNB menerima anugerah yang disampaikan oleh Saud A. Minam, Pengerusi ADFIAP yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Pembangunan Fiji.
Mesyuarat tahunan ADFIAP ke-47 berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2024, bertemakan ‘DFIS Role in Sustainable Finance Ecosystem: Cultivating a Climate-Smart and Sustainable Future.
Menurut Izwan lagi, projek CSR PUNB CelcomDigi – Let’s Give Back itu telah diadakan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang pada 19 hingga 22 September tahun lalu.
Program dengan kerjasama CelcomDigi itu telah menyantuni penduduk kampung di sekitar Kuala Tahan dan Ulu Tembeling dengan mengedarkan bakul makanan, pakaian dan memasang lampu solar di perkampungan Orang Asli.
PUNB turut menyumbangkan wang tunai dan peralatan memanah kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di lima sekolah di sekitar Jerantut dan Kuala Tahan, manakala CelcomDigi memberikan komputer riba dan simcard percuma.
“Pihaknya bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam melaksanakan projek-projek tanggungjawab sosial korporat yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan meningkatkan pembangunan sosial serta ekonomi negara.
Ia sejajar dengan agenda utama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PUNB dalam mencapai keseimbangan keperluan pembangunan operasi dan menyumbang impak positif kepada masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette