Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad (barisan tengah, dua dari kanan) bergambar bersama barisan pelakon Yayasan Chow Kit Najis Menjadi Teman" di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan menerbitkan teater bertajuk ‘Najis Jadi Teman’, sempena sambutan ulang tahun syarikat yang ke-30.

Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, penerbitan teater amal komuniti itu membawa pengalaman yang akan membuka minda orang ramai mengenai kerja-kerja kotor, sukar dan berbahaya yang sering dilupakan.

Katanya, teater tersebut bakal membawa penonton menelusuri perjalanan dan cabaran proses rawatan kumbahan dan memberi gambaran tentang tugas penting dalam menjaga kesihatan awam dan alam sekitar.

“Bagi pihak syarikat saya ingin memperkenalkan satu inisiatif yang kami rasa agak unik, yang bukan sahaja meraikan legasi 30 tahun kami tetapi cara kami ‘bercerita’ memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan rawatan kumbahan.

“IWK sentiasa menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya rawatan kumbahan dalam kehidupan seharian.

“Pihak syarikat merasakan teater adalah satu platform kreatif yang boleh kami pelopori dalam menyampaikan naratif kami, dengan cara menghiburkan,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Teater Amal IWK bersama Yayasan Chow Kit (ICK) DI IWK Eco Park@Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Tambah Wan Esuriyanti, nama teater ‘Najis Jadi Teman’ diilhamkan menerusi sebuah puisi yang ditulisnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas negara dilanda wabak Covid-19.

“Saya mendapat inspirasi ini daripada kisah dan pengorbanan pasukan operasi IWK ketika itu yang perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) untuk bertugas sewaktu semua orang sedang berkurung di rumah masing- masing.

“Jadi tajuk ini merupakan gambaran terbaik untuk menjelaskan kepada umum mengenai realiti sebenar kerja yang kami lakukan di sini,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, sebab utama beliau memilih menganjurkan persembahan teater tersebut adalah bagi mempersembahkan naratif pekerja di IWK dengan cara yang menghiburkan.

“Menerusi kerjasama dengan YCK dan Wayang Kitchen, teater ini bertujuan mendidik dan menyuntik inspirasi kepada penonton, selain meningkatkan lagi semangat mereka untuk menyumbang ke arah yang positif demi sanitasi yang lebih baik.

“Penonton bukan sahaja akan dihiburkan dengan lagu-lagu menarik, malah terdapat aktiviti interaktif, dan aksi unik yang akan dipersembahkan.

“Mereka turut memberi sumbangan secara langsung kepada YCK kerana semua hasil jualan tiket akan disalurkan kepada pihak yayasan,” ujarnya.

Wan Esuriyanti memaklumkan pementasan teater amal akan diadakan pada 22 Jun di IWK Eco Park@Pantai Dalam dengan sasaran kutipan sebanyak RM12,000.

Jualan tiket teater itu mula dijual pada 20 Mei ini pada harga RM100 setiap tiket dan setiap jualannya akan disumbangkan kepada YCK.

Teater amal arahan Razif Hashim dibintangi penyanyi dan penulis lirik, Atilia Haron bersama pelakon, Alfred Loh dan Phraveen Arikiah sebagai pelakon utama.

Turut dibantu, barisan anak-anak YCK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kanak-kanak dan remaja berisiko di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur – MalaysiaGazette