Oms Thigarajan (duduk tiga dari kanan).

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam dunia perlombongan bijih timah mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah pihak tertentu dalam cubaan untuk mencemar nama syarikatnya sejak kebelakangan ini.

Pemilik dan pengasas syarikat KL Larut Sdn Bhd, Oms Thigarajan berkata, perbuatan mereka yang menyebarkan fitnah itu sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya.

“Sebenarnya saya sedang mengambil tindakan terhadap seorang individu berpengaruh pada masa ini selepas berlaku sedikit perselisihan faham berkaitan wang. Saya telah melabur bagi tujuan perniagaan bersama individu itu sebanyak RM1.1 juta namun ia tidak dilaksanakan.

“Oleh yang demikian saya mohon wang itu dipulangkan namun tidak ada persefahaman kerana itu saya ambil tindakan undang-undang. Isnin ini sepatutnya pihak sebelah sana sudah mengemukakan hujahan bertulis berkaitan kes ini.

“Pada masa sama, saya dapati ada individu-individu tertentu tampil membuat sidang media untuk mengaitkan saya dengan pelbagai tuduhan tidak berasas khususnya untuk memburukkan saya,” katanya. 

Dakwa Oms lagi, beliau sebelum ini pernah menyaman seorang lagi individu kerana gagal membayar wang yang dipinjam.

“Keputusan mahkamah berpihak kepada saya dengan memberikan kemenangan tahun lalu.

“Saya percaya individu tersebut ialah dalang fitnah terhadap saya dan syarikat. Saya tidak akan berhenti di sini dan sedang melihat apa lagi tindakan mengikut lunas undang-undang bagi melawan kes ini.

“Ini kerana individu yang sedang saya saman itu tidak mempunyai bukti dan fakta cukup untuk melawan saya kerana itu dia bersekongkol dengan pihak lain untuk cuba menjatuhkan saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette