SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menemui resolusi secara damai membabitkan insiden burung gagak terjatuh ke dalam periuk sup milik sebuah restoran makanan di Simpang Ampat semasa Ops Crow Sharpshooter (Ops CroSS) edisi Mini 2/2024 hari ini.
MBSP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan pemilik restoran berkenaan sebaik insiden itu berlaku.
“Kita juga telah menjelaskan kepada pemilik tentang pelan tindakan susulan yang akan diambil oleh kedua-dua belah pihak untuk tujuan resolusi isu secara konsensus.
“Pihak MBSP mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam memastikan resolusi secara damai dalam isu tersebut.

“Kita juga menasihatkan semua pihak berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak sebarang insiden yang tidak dingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MBSP berkata, pihaknya sentiasa bertindak cermat dalam memastikan setiap acara yang dianjurkan MBSP berlangsung dengan lancar dan selamat.
“Pada masa yang sama, MBSP turut cakna dan bersiap-siaga dalam aspek kontingensi dan proaktif dengan pelan tindakan susulan berlakunya apa-apa insiden luar jangkaan sepertimana yang terjadi pada OPS CroSS kali ini,” katanya.
Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi lebih empat minit menunjukkan seekor burung gagak terjatuh dalam periuk yang mengandungi sup daging milik sebuah restoran.
Berdasarkan video tersebut, pemilik restoran mendakwa mengalami kerugian RM2,000 akibat insiden tersebut namun reda dengan kejadian yang berlaku. – MalaysiaGazette