KUANTAN – Manusia hanya merancang namun rezeki, jodoh dan ajal maut semua dalam rencana tuhan.
Selain mengimpikan untuk menyambung pengajian dalam bidang forensik, Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said pernah menyuarakan hasrat untuk bertunang dengan pilihan hatinya pada tahun ini kepada ibunya.
Aini Mohd Shariff, 57, berkata, hasrat itu tidak kesampaian apabila beliau menasihati anaknya itu agar memberi fokus kepada kariernya dan meneruskan impian itu pada tahun depan.
Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq, 24, anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu pernah menyatakan perasaannya terhadap gadis yang dikenali sejak bangku sekolah lagi.
”Muhamad Syafiq telah mengenali gadis terbabit yang berasal dari Felda Panching di sini sejak dari zaman persekolahan lagi dan kami pun kenal.
“Anak saya sudah lama berkawan dengan gadis tersebut dan bercadang untuk mendirikan rumah tangga tapi hasratnya tak kesampaian.
“Walaupun sedih tetapi saya terima segala ketentuan Ilahi dan menganggap ini adalah ujian dari-Nya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Mahkota Jaya dekat sini hari ini.
Perkara tersebut turut disahkan oleh suaminya, Ahmad Said Md Piah, 65, yang sentiasa memberi sokongan kepada anak ketujuh itu dalam membangunkan karier dan membina keluarga terlebih dahulu.
Menurutnya, keluarganya berbangga dengan pengorbanan yang dilakukan dalam menjaga keamanan tanah air kerana baru sahaja menjadi anggota polis pada Julai tahun lalu.
Muhamad Syafiq yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru semalam bersama rakan sekerja, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun serta suspek berusia 21 tahun.
Manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan ditetak, kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.
Sementara itu istiadat bagi upacara pengebumian disempurnakan oleh lapan anggota polis IPK Pahang yang membawa keranda dan jenazah selamat dikebumikan pukul 5.50 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kuantan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Yahaya Othman turut menzahirkan rasa dukacita dengan kematian salah seorang anggota polis akibat serangan di balai polis terbabit.
Yahaya berkata, pihaknya sedia membantu keluarga dalam pengurusan jenazah atau apa sahaja yang diperlukan. – MalaysiaGazette