Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki yang nekad memecut keretanya bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gara-gara takut ditahan kerana tidak memiliki lesen  selain  dalam pengaruh dadah akhirnya memakan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden itu berlaku di Jalan Sepadu semalam apabila lelaki warga tempatan itu bertindak melarikan diri daripada diperiksa oleh pihaknya.

“Sekitar jam lebih kurang 1.20 pagi itu, kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memaklumkan telah mengejar sebuah kenderaan jenis Proton Satria berwarna kelabu gelap yang mencurigakan.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian di kawasan kilang Seksyen 25/123 Jalan Sepadu, kenderaan suspek secara tiba-tiba melarikan diri apabila peronda MPV mahu membuat pemeriksaan.

“Namun hasil bantuan kereta peronda MPV dari Klang dan Banting, pemandu kenderaan berjaya ditahan setelah kereta dipandu suspek akhirnya terbabas di Jalan Klang Banting,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Mohd Iqbal, semakan ke atas suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai buruh itu mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah lampau dadah termasuk satu notis dikehendaki kes narkotik serta tiga rekod jenayah.

Suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain gagal memiliki lesen memandu yang sah.

“Lelaki itu kini direman selama dua hari sehingga Sabtu (hari ini) bagi membantu siasatan anjut polis atas kesalahan dadah,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan selain kes turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast