KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan mengumumkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam negara sempena sambutan bulan kebangsaan, tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, usaha tersebut seiring dengan matlamat untuk memastikan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sentiasa dipergiat terutamanya ketika sambutan bulan Kebangsaan.
“Bulan Kebangsaan merupakan perayaan yang sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia dengan perasaan berkobar-kobar untuk menghias Jalur Gemilang di kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 di Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL), hari ini.
Fahmi berharap sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan disambut dapat diraikan dalam suasana aman damai dan harmoni.
Katanya, seluruh rakyat negara perlu bersatu-padu dan bersama-sama berusaha demi membangunkan negara seiring dengan semangat patriotik.
“Harapan saya kita dapat raikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam satu suasana bukan hanya aman daman, bersatu-padu tapi dengan azam baharu untuk terus membangunkan negara Malaysia dalam suasana bersatu padu,” tambahnya.
Menurut beliau, kementerian tersebut menerusi Jabatan Penerangan turut membuat kompilasi lagu-lagu patriotik.
“Kita harap kompilasi ini dapat dimanfaatkan sama ada di sekolah, di rukun-rukun tetangga, komuniti-komuniti Madani, kampung-kampung menuju Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Komuniti Madani perlu memainkan peranan dalam menyebarkan program-program usaha kerajaan di seluruh negara tidak mengira kawasan.
Menurutnya, dalam masa yang sama komuniti tersebut juga bertanggungjawab untuk memastikan maklumat yang sampai kepada rakyat adalah sahih.
“Komuniti Madani akan menjadi barisan paling hadapan untuk kita tingkatkan pemahaman rakyat tentang dasar, usaha kerajaan, selain mendapatkan maklumat di peringkat komuniti tentang isu yang mereka hadapi,” katanya.
Fahmi berkata, sehingga kini seramai 1,878 Komuniti Madani di seluruh negara dikelolakan oleh Pegawai Penerangan Daerah dan Negeri.-MalaysiaGazette