Orang ramai masih menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat yang tertutup dan sesak tinjauan lensa Malaysia Gazette dalam pengangkutan awam. Foto MUHD NA’IM, 30 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau situasi Covid-19 di Malaysia dan di peringkat global susulan gelombang terbaharu di Singapura yang menyaksikan peningkatan dua kali ganda kes tersebut pada minggu bertarikh daripada 5 hingga 11 Mei 2024 berbanding minggu sebelumnya,

Menurutnya, KKM meningkatkan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes di Malaysia.

Pada Minggu Epidemiologi (ME) 12 Mei hingga 18 Mei 2024 sebanyak 1,230 kes Covid-19 dilaporkan, peningkatan sebanyak 14.8% berbanding ME 19/2024.

Namun tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan sejak 25 April 2024 sehingga kini.

KKM berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan pada ME 20/2024 berbanding ME 19/2024 iaitu pengisian katil bukan kritikal sedikit meningkat tetapi tidak membebankan kapasiti hospital iaitu daripada 0.08% kepada 0.10% manakala pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU), menurun daripada 0.17% kepada 0.04%.

Sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya.

“Terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes KP.1.1 telah dilaporkan sejak Mac 2024. Kedua-dua varian KP.2.1 dan KP.1.1 adalah sebahagian daripada keluarga Omicron.

“Secara khususnya, mereka adalah sublineage daripada JN.1.11.1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan KP.2 sebagai Currently Circulating Variant Under Monitoring (VUM) pada 3 Mei 2024. Namun, kemasukan varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti,” katanya dalam kenyataan di sini.

KKM menambah, virus Covid-19 akan terus berada bersama kita dan orang ramai perlu berwaspada menghadapinya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak,” ujarnya. – MalaysiaGazette