Lelaki yang disyaki menyamun sebuah premis di Kampung Baru ditahan dan sebilah parang dirampas.

KUALA LUMPUR – Lelaki yang tular dalam kejadian samun di sebuah kedai di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru berjaya dicekup petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, pihaknya melakukan tangkapan selepas menerima laporan daripada mangsa 12.08 tengah hari.

Menurutnya, suspek ditahan kira-kira 2.54 petang di tepi Jalan Datuk Abdullan Yasin, Kampung Baru dan merampas sebilah parang berukuran 46 sentimeter.

Individu yang ditahan berusia 46 tahun akan direman esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Noor Delhan berkata, siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan yang menyalahi undang-undang dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette