KUALA LUMPUR – Sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor dijadikan tempat transit sindiket penyeludupan migran menerusi jalan laut diserbu pada 1.30 pagi tadi.
Serbuan, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menjayakan Op Pintas Transit Migran.
Menurut Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketika serbuan pihaknya menahan 20 migran warga Indonesia atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.
“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007. Lapan lagi warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, 11 lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, operasi tersebut memfokuskan cubaan migran memasuki Malaysia melalui jalan laut.
“Siasatan awal dilakukan mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat transit atau rumah penampungan migran, yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut secara haram.
“Kita percaya sindiket terbabit sudah beroperasi kira-kira seminggu lalu,” ujarnya.-MalaysiaGazette