Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pengiktirafan itu  sekali gus menjadikan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di Malaysia.

Penilaian THE Young berdasarkan kepada indikator kualiti penyelidikan (30 peratus), reputasi pwngajaran ( 29.5 peratus), persekitaran penyelidikan (29 peratus), tinjauan antarabangsa (7.5 peratus) dan industri (4 peratus).

”Prestasi cemerlang ini tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh warga universiti serta kerjasama strategik yang produktif pihak industri, agensi, sektor awam, dan tidak ketinggalan alumni UMPSA,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Yusserie, UMPSA merupakan universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi yang sudah mencecah 22 tahun.

Universiti ini memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

Pencapaian ini membuktikan UMPSA berada di landasan yang tepat selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya.

Selain itu UMPSA menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju.- MalaysiaGazette