Tangkap layar video tersebut yang tular di media sosial.

BENTONG –  Seramai 15 individu yang ditahan berkaitan kes tular dipercayai melakukan aktiviti memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands baru-baru ini disahkan bukan daripada anak golongan timbalan menteri atau VIP seperti didakwa.

Ketua Polis Pahang, Datuk  Seri Yahaya Othman mengesahkan penahanan itu berkata, 10 lelaki dan lima wanita itu ditahan selepas mereka hadir memberi keterangan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Sabtu lepas.

”Mereka ditahan pada 18 Mei 2024 pada jam 2.30 petang. Semua suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

“Polis masih dalam proses merakam percakapan saksi ketika kejadian dan melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi  MalaysiaGazette.

Terdahulu media melaporkan penularan satu klip video di media sosial memaparkan sekumpulan individu ‘berkelah’ dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands.

Perbuatan tersebut mendapat kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan dan rasa tidak selesa kepada orang awam.

Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast