Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Dua suspek lelaki yang ditahan selepas cuba menceroboh masuk ke dalam Istana Negara dengan alasan mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim minggu lalu didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu didakwa di Bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 511 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda.

“Kedua-dua suspek itu bagaimanapun mengaku bersalah ke atas pertuduhan itu semasa dibacakan jurubahasa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Tambah Rusdi, salah seorang daripada suspek itu turut dikenakan pertuduhan tambahan bawah Seksyen Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Bagaimanapun suspek tidak mengaku bersalah dan mohon perbicaraan untuk pertuduhan tambahan itu.

“Manakala motif cubaan suspek menceroboh Istana Negara tidak dapat dipastikan lagi,” ujarnya.

Dalam kenyataan Sabtu lalu, Rusdi mengesahkan tangkapan dua suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan persendirian dan seorang penghantar e-hailing selepas cuba memasuki PIntu Tiga Istana Negara dengan kereta Perodua Kembara dan siasatan mendapati terdapat sebilah parang di dalam kenderaaannya.

Mengenai kes sepucuk surat amaran dan ugutan dengan diserta peluru hidup terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Rusdi berkata, polis  telah merakam keterangan dua saksi.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua lelaki bawa parang cuba masuk Istana Negara dicekup