Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa beramah mesra bersama bakal Jemaah Haji di Majlis Serahan Sumbangan Wang Tunai Kepada Bakal Haji Muassasah Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2024

PUTRAJAYA – Satu perbincangan berkaitan pelaksanaan dan penjagaan pokok sekitar Kuala Lumpur akan diadakan dalam masa terdekat bersama jawatankuasa yang telah ditubuhkan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zalina Mustapa berkata, tindakan itu bagi mencari mekanisme serta menaik taraf pelaksanaan garis panduan sedia ada berkaitan isu tersebut.

“Saya difahamkan ada formula khusus dalam penanam dan penjagaan pokok ini. Jadi itu akan diambil kira tentang perkara itu. Dalam masa terdekat ini, kita akan duduk dan bincang apakah pelaksanaan yang terbaik mungkin boleh dilakukan.

“Ia akan diadakan bersama jawatankuasa khas kita dan turut dijemput NGO yang mahir dalam hal ini seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Arborist Malaysia (Arborist),” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bercakap pada Sidang Media di Majlis Serahan Sumbangan Wang Tunai Kepada Bakal Haji Muassasah Wilayah Persekutuan Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 20 MEI 2024

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Haji Muasassah ceriakan bakal haji di Wilayah Persekutuan yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang digantikan dengan 100 pokok baharu yang wajib ditanam semula.

Jelas Dr Zaliha, sebanyak 200,000 pokok di telah dikenal pasti di ibu negara oleh Dewan Bandaraya Kuala Kumpur (DBKL) dan beberapa pokok yang berisiko tinggi sudah ditebang.

“Pokok-pokok yang berisiko tinggi ini telah kita lakukan penebangan dan terakhir pada minggu lalu, saya difahamkan terdapat sebanyak 28 pokok belum ditebang lagi.

“Bagaimanapun, kita sarankan pokok-pokok yang ditebang ini perlu diganti dan lihat dari semua sudutlah seperti berapa jumlahnya. Kita akan tengok semua faktor itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemberian pampasan kepada ahli keluarga Allahyarham Md Rizal Atan, mangsa yang maut dalam tragedi pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei lalu, Dr Zaliha berkata, beliau bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah menghulurkan sumbangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). kepada kesemua mangsa terlibat pada minggu lalu.

“Kita turut memberikan sejumlah sumbangan kepada keluarga arwah dan juga dua lagi mangsa iaitu pemandu Grab dan penumpangnya warga Sweden. Alhamdulilah nampaknya walaupun ada kecederaan tetapi mereka dijaga dengan baik.

“Untuk yang lain, kita sedang menunggu jika ada tuntutan dan akan lihat secara teliti. Kalau mereka ada insurans, kita minta mereka usaha dahulu untuk dapatkan insurans penggantian kerosakan pada kenderaan masing-masing,” jelasnya. –MalaysiaGazette