Wan Salim.

GEORGE TOWN – “Seseorang muslim perlu mengelak berdoa di tempat yang tidak sesuai seperti di tepi tandas, di bawah tangga dan lebih-lebih lagi di kubur orang kafir,” kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Sebaliknya, sesiapa yang ingin berdoa dinasihati supaya memilih tempat yang baik seperti di dalam masjid, bilik khusus bagi solat dan sebagainya.

Tegas beliau, ini kerana dikhuatiri sekiranya Allah SWT menurunkan azab ke atas penghuni kubur itu maka azab berkenaan akan meliputi bersama mereka yang hadir dan berdoa di lokasi berkenaan.

“Harus berdoa bagi perpaduan antara warganegara yang terdiri daripada penganut pelbagai agama.

“Seseorang Muslim juga harus memohon doa supaya dikurnia kebaikan oleh Allah SWT kepada orang bukan Islam atau kafir seperti kesihatan tubuh, murah rezeki, banyak harta, beranak pinak dan sebagainya.

“Malah harus juga mendoakan supaya Allah SWT memberi hidayah-Nya kepada kaum keluarga, rakan atau jiran tetangga kepada agama Islam,” katanya ketika diminta mengulas video tular memaparkan sekumpulan individu melakukan upacara memperingati ulang tahun ke-55 rusuhan kaum di tapak perkuburan khas di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Tindakan pemimpin agama Islam yang membaca doa di kubur bukan Islam itu mendapat pelbagai reaksi warganet.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, memohon keampunan Allah SWT bagi orang kafir yang sudah mati adalah dilarang dan hukumnya juga haram.

“Larangan ini difahami daripada firman Allah di dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 113 bermaksud ‘Tidak wajar bagi Nabi dan orang beriman memohon keampunan untuk golongan musyrikin sekalipun mereka itu kaum keluarga (seseorang) setelah ternyata bahawa mereka itu penghuni neraka (disebabkan kesyirikan mereka),” katanya. – MalaysiaGazette