UMT kini berada dalam kelompok tujuh universiti terbaik di Malaysia.

KUALA TERENGGANU –  Kecemerlangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kian terserlah apabila melonjak ke kelompok 251-300 di peringkat dunia berbanding kedudukan 401-500 pada tahun sebelumnya. 

Ranking itu diambil berdasarkan ‘Times Higher Education Young University Rankings 2024’ yang kriterianya berdasarkan pengajaran dan pemerhatian pihak industri.

Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, beliau berbangga dengan kejayaan universiti itu sehingga mampu menyertai kelompok tujuh universiti baik di Malaysia atau keempat dalam kalangan universiti awam.

“Hampir semua indikator adalah bukti kejayaan perancangan dan inisatif yang telah ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022.

“Peningkatan yang ketara terutamanya dalam kualiti pendidikan menunjukkan bahawa kami kini berada pada landasan yang kukuh dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti disamping kriteria pengantarabangsaan.

“Walaupun UMT masih muda, kami berjaya menunjukkan bahawa kami mampu bersaing dengan universiti-universiti ternama yang lain terutamanya dalam bidang penyelidikan,” katanya.

Keputusan yang diumumkan pada 18 Mei lepas telah melibatkan lebih daripada 673 universiti dari seluruh dunia.

“Syabas dan tahniah kepada semua warga UMT atas segala komitmen dan usaha untuk memastikan UMT berada pada kedudukan yang terbaik,” tambahnya. – MalaysiaGazette