KUALA LUMPUR – DAP tidak bertolak ansur dengan keganasan yang dilakukan oleh pihak tidak yang mengugut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.
Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Siew Fook berkata, unsur keganasan sama sekali tidak boleh diterima terutama dalam menangani perbezaan pendapat dalam politik.
Sehubungan itu katanya, DAP mengutuk ugutan terhadap Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
“Seluruh pimpinan DAP bersolidariti dengan beliau berdepan dengan ugutan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anthony yakin siasatan terperinci oleh polis akan dapat menangkap dalang tindakan tida bertanggungjawab itu.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas selepas menerima laporan polis,” katanya.
Teresa menerusi Facebooknya menyuarakan kebimbangannya selepas menerima sampul yang mengandungi benda keras itu diambilnya dalam peti surat sebaik sahaja pulang ke rumah kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima laporan mengenai kes ugutan itu pada jam 9 malam.-MalaysiaGazette