KUALA LUMPUR – Kempen bantahan pengambilan pelajar bukan bumiputera bagi kursus tertentu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini dilihat tersasar dan tidak mencapai matlamatnya.
Pusat KOMAS adalah sebuah pertubuhan hak asasi manusia bukan kerajaan bagi memperjuangkan demokrasi dan anti-diskriminasi mendakwa, ini kerana keputusan mengekalkan eksklusiviti untuk bumiputera dalam semua kursus tidak selaras dengan keperluan negara pada masa ini.
“Malaysia sedang menghadapi kekurangan kritikal pakar terutamanya dalam bidang seperti pembedahan kardiotorasik. Kekurangan ini menjejaskan semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik.
“Awal tahun ini, Presiden Malaysian Association for Thoracic & Cardiovascular Surgery (MATCVS), Datuk Dr Basheer Ahamed Abd Kareem mendakwa kelewatan ini akan mengakibatkan kematian seorang pesakit dari setiap tujuh pusat kardiotorasik Kementerian Kesihatan (KKM) setiap minggu.
“Menafikan individu yang layak peluang untuk melatih dalam bidang ini semata-mata berdasarkan bangsa mereka menghalang kemajuan negara kita dan membahayakan kesejahteraan semua warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar NGO itu lagi, ‘kedudukan istimewa’ bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti yang dinyatakan oleh perangka dasar itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dianggapnya hanya langkah sementara bagi membolehkan orang Melayu berdaya saing dengan kaum lain.
“Memandangkan DEB pada asalnya dirancang sebagai langkah sementara, kemelut yang berlaku kini menunjukkan bahawa handicap ini perlu dinilai semula selaras dengan prinsip hak asasi manusia.
“Mengekalkan eksklusiviti bumiputera dalam bidang yang sangat memerlukan profesional berkemahiran menghalang pembangunan negara dan meneruskan ketidaksamaan,” jelasnya.
Susulan itu, Pusat Komas menggesa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UITM untuk mempertimbangkan pendekatan yang lebih berperingkat dan mencadangkan kursus atau program yang mempunyai kekurangan kritikal seperti latihan pembedahan kardiotorasik dibuka kepada bukan bumiputera sementara mengekalkan fokus terhadap bumiputera dalam program lain.
“Pada masa, kami juga menyeru agar semua pihak bertenang dalam menangani situasi ini dan menunjukkan empati kepada doktor bukan bumiputera yang terjejas susulan perdebatan hangat ini.
“Selain itu, kami menggesa kerajaan untuk mengadakan dialog membina dengan semua pemegang taruh bagi mengimbangi hak bumiputera dengan kepentingan nasional.
“Kemahiran seorang pakar bedah jantung bukan ditentukan oleh kaum tetapi kemampuan untuk merawat jantung,” ujarnya lagi.
Pada 15 Mei lalu, Majlis Perwakilan Pelajar UITM menyeru mahasiswa di universiti itu untuk berpakaian hitam dan memuat naik hantaran dengan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di media sosial.
Ia sebagai protes terhadap rancangan membuka laluan kepada pegawai perubatan bukan bumiputera untuk menyertai program latihan teknikal pakar jantung yang dijalankan secara bersama dengan Institut Jantung Negara. – MalaysiaGazette
Aikkk…kalau bab Bumiputra mcm2 laa ko melalak yer…tp kalau diskriminasi terhadap Bumiputra ko menikus plak? Ni persatuan2 sampah poyo ni tak perlu di layan