BENTONG – Empat daripada 15 individu yang yang terbabit dengan aktiviti memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands baru -baru ini akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya berkata, seorang lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 24 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
”Kesemua 15 telah ditahan dan empat dari mereka akan dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan esok di Mahkamah Bentong manakala yang lain telah dibebaskan dan akan menjadi saksi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.
Menurut Yahya, laporan dibuat seorang wanita berusia 47 tahun yang juga petugas di stesen minyak terbabit ekoran satu klip video di laman sosial memaparkan sekumpulan individu ‘berkelah’ dan memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands.
Susulan itu 15 individu telah ditahan pada 18 Mei lalu berkaitan kes yang tular itu.
Perbuatan tersebut mendapat kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan dan rasa tidak selesa kepada orang awam.
Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih
Selain itu kumpulan terbabit juga tidak menghiraukan kehadiran pihak polis dan menyambung aktiviti yang dilakukan walaupun kelihatan sebuah kereta peronda memasuki stesen minyak tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
15 individu ditahan masak mi segera di stesen minyak bukan anak VIP – Yahaya