Hussein menunjukkan kejayaan menumpaskan suspek keldai dadah warga Peru yang menyorok kapsul kokain dalam perut di KLIA pada 17 Mei lalu. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2024.

SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Peru ditahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama dadah yang ditelannya semasa singgah di Malaysia pada 17 Mei lali

Suspek dipercayai menelan 95 kapsul berisi kokain, yang dipercayai untuk pasaran luar negara, sebelum memulakan perjalanan lebih daripada 10 jam untuk sampai ke negara ini.

Suspek berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA hasil laporan risikan Polis Antarabangsa (Interpol) apabila didapati berada dalam keadaan mencurigakan pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang ditahan itu dibawa ke hospital berhampiran bagi menjalani x-ray.

“Suspek dipantau selama tiga hari sebelum menggunakan kaedah perubatan iaitu menerusi pembuangan najis dan mengeluarkan 95 kapsul ketulan putih kekuningan berisi dadah kokain keseluruhan berat dianggarkan 1.152 kilogram.

“Nilai dadah kokain itu dianggarkan bernilai RM230,400 dan siasatan mendapati suspek seorang yang bekerja sebagai mekanik dan berstatus bujang,” katanya dalam sidang media di  Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Kapsul dadah kokain yang berjaya dirampas polis dari warga Peru menerusi kaedah pembuangan najis di hospital Cyberjaya selepas ditahan pada 17 Mei lalu.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek seorang keldai dadah yang diarahkan kartel di Amerika Latin untuk membawa dadah dengan kaedah menelan kapsul ke dalam perut.

“Suspek telah mengambil penerbangan dari Peru, transit di Dubai sebelum tiba ke KLIA sebagai transit kedua bagi menyeludup kokain itu ke pasaran luar negara kerana bagi Malaysia sangat jarang dadah jenis ini diseludup masuk untuk pasaran ke sini.

“Disebabkan masalah bahasa kita kekurangan maklumat daripada suspek Amerika Latin itu tetapi polis meneruskan siasatan sama ada dia membawa kokain untuk diserahkan kepada seseorang suspek lain tujuan pasaran di sini atau transit ke pasaran luar negara,” ujarnya.

Menurut Hussein, siasatan mendapati suspek mencari hotel berhampiran KLIA untuk menunggu arahan selanjutnya daripada kartel.

Tambah beliau, suspek kini ditahan selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette