Serbuan di Sibu, Sarawak yang membawa kejayaan rampasan beras import dan barangan sejuk beku dalam operasi bersepadu khas PDRM bermula 14 Mei lalu.- Gambar ihsan JKDNKA Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket terlibat pelbagai aktiviti penyeludupan termasuk hidupan liar dengan tertangkapnya 10 individu termasuk seorang wanita  yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

Kesemua individu itu ditumpaskan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh PDRM pada 14 hingga 18 Mei lalu di beberapa negeri.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA menumpaskan kegiatan membabitkan 10 suspek itu menerusi operasi khas iaitu Op Taring Bravo 1; Operasi Bersepadu Khazanah; Op Taring Chiller dan Op Taring Bravo 3 dalam enam serbuan sekitar Selangor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Hasil serbuan  berjaya menahan sembilan lelaki dan seorang wanita tempatan dengan membabitkan rampasan pelbagai barangan, hidupan liar dan barang kawalan dianggarkan bernilai RM5.45 juta atau lebih tepat RM5,458,337.

“Dalam serbuan pertama pada 14 Mei lalu di daerah Puchong, pasukan menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan menahan empat lelaki dan berjaya merampas 98,400 liter minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu sebuah lori tangki minyak; sebuah lori bonded; satu treler; dua kontena; dua tangki IBC; seunit motor pam dan tiga hos penyedut bernilai RM1.033 juta juga dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Manakala dalam serbuan kedua,15 Mei lalu di Besut, Terengganu, kita turut menumpaskan satu sindiket penyeludupan hidupan liar dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan,” ujarnya.

Pihaknya merasmpas 44 ekor ular jenis ball python; 11 ekor ular jenis boa python; seekor ular sawa; seekor ular mangrove python; seekor ular Burmese python  dan lapan biji telur ular.

Kesemuanya dianggarkan bernilai RM155,504.

PDRM berjaya merampas hidupan liar daripada sindiket penyeludupan dalam operasi khas bersepadu Khazanah bermula 14 Mei lalu.Ihsan JKDNKA Bukit Aman

Tambah Kamarudin lagi, kes kedua ini disiasat di bawah Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pada tarikh sama polis bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Sibu dan Jabatan Khidmat Veterinar Sarawak (DVSS) terlibat serbuan ketiga dan keempat yang berjaya membanteras aktiviti penyimpanan beras import dan penyeludupan bahan barangan makanan sejuk beku.

Hasilnya, dalam serbuan ketiga seorang lelaki warga tempatan telah ditahan dan merampas 649,750 kilogram beras import yang bernilai RM2,121,222 disusuli rampasan keempat melibatkan sebanyak 5,831 kotak makanan sejuk beku mengandungi pelbagai bahagian ayam seperti chicken leg quaters, chicken wings dan chicken tails dengan nilai rampasan berjumlah RM1.880 juta.

Tindakan kompaun sebanyak RM25,000 telah dilaksanakan serta merta seperti yang termaktub di bawah Seksyen 9(3), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Manakala, serbuan kelima pada 16 Mei lalu di sekitar daerah Gombak turut berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan hidupan liar yang membawa kemudian membawa tangkapan seorang lelaki dan seorang wanita.

Dalam serbuan itu pihaknya merampas enam jenis burung anggaran RM10,250 dan kes disiasat di bawah seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (akta 716) dan Seksyen 22(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)

“Dalam serbuan enam yang dilakukan 18 Mei lalu pasukan penguat kuasa berjaya membanteras aktiviti penyimpanan gula kasar bersubsidi tanpa kebenaran di sekitar kawasan Kota Kinabalu, Sabah selain dua lelaki tempatan turut ditahan serta merampas sebanyak 52,944 kilogram gula kasar bersubsidi yang bernilai RM256,626,” ujarnya.

Rampasan barang bersubsidi gula dalam serbuan di Kota Kinabalu, menerusi operasi khas Bersepadu PDRM di negara ini.Ihsan JKDNKA Bukit Aman

Kamarudin berkata,secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Mei tahun ini, pihaknya telah melancarkan sebanyak 78 serbuan di seluruh negara dan berjaya menahan seramai 172 orang di atas pelbagai kesalahan.

Ia melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi dan penyeludupan hidupan liar dan turut merampas pelbagai jenis rokok, arak, minyak diesel, minyak masak, gula, beras, hidupan liar, bunga api dan mercun, makanan sejuk beku, minyak dan minyak masak terpakai.

Nilai rampasan secara keseluruhannya bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM194, 6 juta. – MalaysiaGazette