SEREMBAN – Rangka manusia yang ditemukan di ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelamah, Gemas dekat sini pada 29 April lepas disahkan milik individu yang dilaporkan hilang hampir sebulan lepas iaitu Muhammad Syafiq Salehin.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata, identiti lelaki berusia 33 tahun yang beralamat terakhir di Kampung Tengah Air Kuning Selatan, Gemencheh itu disahkan berdasarkan siasatan dan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Laporan DNA mengesahkan bahawa rangka berkenaan adalah milik Muhammad Syafiq Salehin yang dilaporkan hilang pada 25 Mac lepas. Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan selain rangka manusia, turut ditemukan adalah topi keledar, motosikal dan tali pinggang dengan jarak rangka manusia dengan motosikal itu kira-kira 15 meter (m), rangka tulang belakang 10m serta tengkorak lebih kurang 80m.
Polis juga sebelum itu meminta bantuan orang ramai mengesan Muhamad Syafiq yang diklasifikasikan sebagai orang hilang.
— BERNAMA