ISTANBUL – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau sedang memantau dengan teliti nahas helikopter yang melibatkan Presiden Iran, selain berkoordinasi dengan pihak berkuasa Tehran.
Katanya, Türkiye bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan.
“Presiden Iran, saudara saya yang dikasihi Ebrahim Raisi, dan delegasinya terlibat dalam kemalangan helikopter amat menyedihkan kami.
“Sebagai Republik Turkiye, kami ingin menyatakan bahawa kami memantau keadaan dengan teliti dan sedang berhubung dan berkoordinasi sepenuhnya dengan pihak berkuasa Iran. Kami bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.
“Saya mengucapkan takziah kepada rakyat dan kerajaan jiran, rakan, dan saudara kita di Iran bagi pihak negara kita. Saya berharap untuk mendengar berita positif tentang Ebrahim dan delegasinya secepat mungkin,” kata Erdogan di X.
Helikopter yang membawa Ebrahim dilaporkan mengalami pendaratan sukar berikutan keadaan cuaca buruk semasa pulang dari majlis perasmian empangan di sempadan Azerbaijan.
Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengumumkan bahawa “kemalangan” berlaku di lokasi antara Kaleybar dan Varzaqan.
Menteri Dalam Negeri Iran, Ahmad Vahidi memaklumkan pasukan penyelamat masih belum sampai ke kawasan itu.
Timbalan Gabenor Azerbaijan Timur Jabbarali Zakiri sebelum ini mengesahkan dua daripada tiga helicopter yang dalam konvoi Ebrahim telah mendarat, manakala satu telah terhempas. – Agensi