Kerja-kerja mencari dan menyelamat di sebuah sungai di bandar Qianxi.

BEIJING – Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 70 lagi dimasukkan ke hospital selepas angin kencang menyebabkan empat bot pelancong terbalik di barat daya China.

Angin kencang secara tiba-tiba menyebabkan bot-bot itu terbalik di sungai di bandar Qianxi di Guizhou pada hari Ahad, menyebabkan 84 orang terjatuh ke dalam air, menurut laporan media kerajaan.

Angka kematian meningkat daripada sembilan selepas mayat seorang yang hilang ditemui pada Isnin.

Insiden itu berlaku ketika China meraikan penghujung cuti Hari Mei selama seminggu, musim kemuncak untuk perjalanan.

Pemimpin China Xi Jinping menggesa usaha habis-habisan dalam mencari dan menyelamat.

Xi berkata, kemalangan yang sama telah berlaku baru-baru ini, dan menekankan kepentingan memperkukuh langkah keselamatan.

Pihak berkuasa di China juga telah diberitahu untuk meningkatkan langkah keselamatan awam pada musim puncak kedatangan pelancong.

Insiden Ahad berlaku hanya dua bulan selepas 11 orang terbunuh dalam satu lagi kemalangan, apabila sebuah bot penumpang melanggar sebuah kapal perindustrian di wilayah Hunan, China.

Satu lagi kemalangan berlaku pada hujung minggu di timur bandar Suzhou, selepas sebuah helikopter persiaran terhempas di taman yang baru dibuka, meragut satu nyawa dan mencederakan empat lagi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast