KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya menjadi perdana menteri satu ketika dahulu sekiranya sejarah negara ini dapat diubah.
Namun bekas menteri Kabinet itu berkata, kebijaksanaan bekas perdana menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli politik menjadi penghalang buat Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li untuk menerajui pentadbiran kerajaan.
Sedangkan kata Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan pernah muncul sebagai pemimpin muda yang hebat dan namanya menjadi sebutan kerana diterima baik pemikirannya oleh rakyat dan kerajaan.
“Ku Li kalau dibandingkan dengan Musa, saya kalah dari segi latar belakang di mana beliau berketurunan darah raja dan dari segi kehidupan di mana Ku Li dapat merasai pelajaran tinggi di luar negeri.
“Beliau juga dihantar ke luar negeri hingga berjaya dan negara kita dapat gunakan apa yang diketahuinya di mana negara memerlukannya.
“Ku Li boleh dikatakan kehidupan dia, pelajaran, jawatan dia pegang dan juga pengalaman dalam bidang politik boleh dikatakan ada sedikit sebanyak serupa saya.
“Beliau juga disifatkan sebagai ‘The Wizard’ (penyelamat ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan pembangunan), nama dia timbul dan Ku Li kalau dibanding Musa, Musa kalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian buku Ku Li: Memoir 205 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Tengku Razaleigh dan penulis buku itu, Datin Zinitulniza Abdul Kadir.
Mengulas lanjut, Musa turut berkongsi pengalaman berdepan hubungan regang dengan Ku Li suatu masa dahulu.
“Bila saya diberitahu saya dikehendaki lancar buku untuk Ku Li, banyak juga tak percaya itulah sebab begitu ramai yang tidak tahu sejarah kita.
“Hendak tengok orang berlawan dulu satu pentas cuma bercakap, ada common interest untuk lancar buku hari ini.
“Bertahun renggang, namun itu sejarah dan saya hormati Ku Li dan akan ingat dia dahulu sentiasa sebagai seorang anak muda yang terkenal di dalam politik dan memberi potensi terbaik kepada kerajaan ketika itu.
“Beliau anak muda yang bertanggungjawab saya ingat, kepada dua perkara utama iaitu sewaktu kerajaan menubuhkan Bank Bumiputera selain ada peranan mentadbir Petronas ketika awal kerajaan menubuhkannya dahulu,”,” katanya.
Hubungan Musa dan Razaleigh menjadi keruh selepas kedua-dua mereka bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1981.
Sementara itu, antara pengisian menarik dalam buku Ku Li: Memoir 205 ialah mengembalikan nostalgia antara Musa dan Tengku Razaleigh termasuk dengan Mahathir dalam era kepimpinan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak.
Mengandungi 15 bab, buku itu turut berkongsi hubungan erat Tengku Razaleigh dengan Allahyarham Tun Razak.
Buku ini juga banyak berkongsi kisah yang tidak diketahui ramai antaranya misi Tun Razak dan Timbalan, Tun Dr Ismail menghantar Ku Li ke China pada 1971 untuk berunding dengan Perdana Menteri China, Chou Enlai.
Tidak ketinggalan, buku ini juga berkongsi kisah Ku Li berulang kali menolak jawatan menteri yang ditawarkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak sebelum akhirnya menerima pada 1976 sebagai melunaskan wasiat Tun Razak.
Buku Ku Li: Memoir 2015 terbitan Forum Press Sdn Bhd dihasilkan dalam dua versi berkulit lembut (RM55) dan keras (RM90). – MalaysiaGazette
Jadi, patutkah org tak bijak jd PM? Kalau dengan org bijak dlm parti sendiri pun tak leh atasi, mcm mana nak jd PM kelak nak hadapi bijak pandai putar alam dr anasir luar? Memang tak layak tu, just admit ja la.