Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain beramah mesra bersama pesakit kanak-kanak semasa mengadakan lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis ke-217 tahun 2024 ketika di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental kanak-kanak di memerlukan kajian pakar dan rawatan segera perlu diberikan bagi menyelamatkan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, banyak kes jenayah seks kanak-kanak bawah umur dilaporkan kebelakangan ini.

“Terbaharu, kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun yang mana dia dipaksa untuk melakukannya. Ini sebenarnya dia bukan sakit fizikal, tetapi (sakit) mental.

“Saya lihat aspek kemasyarakatan pada hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama (cari penyelesaian). Kami sedang menghadapi isu ini tanpa outlet (tempat khas) untuk rawat dan boleh pulihkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, kenak-kanak yang menghadapi senario seperti itu akan mencetuskan masalah yang lebih serius jika perkara tersebut tidak ditangani pada peringkat awal.

Tambah beliau, langkah pemulihan amat kurang pada masa sekarang.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, punca berlaku jenayah seks membabitkan kanak-kanak adalah disebabkan terlalu mudah mengakses bahan pornografi secara dalam talian.

Katanya, satu perbincangan menyeluruh perlu dilakukan bagi dipanjangkan ke peringkat kementerian berkaitan bagi menangani perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast