Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada pemberita selepas sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membantah tindakan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) kerana menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa penubuhan JKDM bukan sahaja tidak dipersetujui bahkan tidak pernah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Penubuhan JKDM di Sabah oleh pemimpin UMNO yang mewakili KKDW tanpa memberitahu atau mendapatkan restu terlebih dahulu dilihat sebagai satu usaha membuli Kerajaan Negeri Sabah termasuk rakyatnya.

“Atas alasan apa JKDM dibuat tanpa mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan laporan polis terhadap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas sidang media di luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis ke atas Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan JKDM diperluaskan ke Sabah tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah di Balai Polis Sri Petaling.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.

Pada Sabtu lalu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick percaya penubuhan JKDM di Sabah lebih kepada inisiatif parti politik dan tidak melalui wakil rakyat di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menjelaskan pandangannya yang tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM apabila ia dibangkitkan di Kabinet.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Moyog dan Kadamaian tidak dibincangkan penubuhan JKDM.

Zulkarnain juga berkata, walaupun KKDW mahu menubuhkan JKDM di Sabah, Ahmad Zahid sepatutnya melantik pengerusi di peringkat kampung dalam kalangan kepimpinan kerajaan semasa bukan pembangkang.

“Walaupun UMNO telah bertapak di Sabah sejak sekian lama, tetapi status UMNO di Sabah kini adalah pembangkang. Adakah logik bagi pimpinan UMNO yang mengetuai KKDW di Persekutuan meminta restu daripada Bung Moktar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang.

“Sedangkan Ketua Menteri Sabah dikebelakangkan di dalam membuat keputusan yang membabitkan hal ehwal pentadbiran di Sabah,” katanya.

Katanya lagi, penubuhan JKDM hanya menyebabkan pertindihan kuasa dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sudah dilantik kerajaan negeri.

“Sabah kini ditabir oleh GRS dan Pakatan Harapan (PH), justeru laporan polis ini dibuat sebagai bantahan ke atas tindakan kurang sopan Menteri UMNO berhubung penubuhan JKDM di Sabah.

“Ia juga sebagai laporan peringatan awal memandangkan berlaku perselisihan pandangan di antara ahli-ahli politik GRS, PH dan UMNO di Sabah.

“Jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, ia dikhuatiri perselisihan akan merebak ke akar umbi di mana akan berlaku pertikaian berhubung pertindihan kuasa membabitkan JKKK dan JKDM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette