Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto SYADILA AMARI, 20 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diminta menterjemahkan peruntukan yang besar daripada kerajaan setiap tahun kepada penyampaian prestasi perkhidmatan yang baik.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia boleh dilaksanakan dengan memastikan pemegang taruh menerima manfaat setimpal dengan usaha kerajaan memberikan peruntukan setiap tahun.

“Kita tahu KKDW mempunyai stakeholder (pemegang taruh) yang terdiri daripada kumpulan sasaran di desa atau luar bandar pada waktu yang sama kita juga mempunyai pemegang taruh di pinggir bandar kerana kita juga mempunyai agensi yang menangani isu yang memerlukan keprihatinan.

“Saya ingin menekankan berdasarkan laporan prestasi adakah pemegang taruh benar-benar memperoleh manfaat daripada belanjawan yang begitu besar yang disalurkan kerajaan?” soalnya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKDW di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kecemerlangan melaksanakan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada golongan tertentu dalam kementerian sebaliknya semua peringkat memainkan peranan penting. 

“Baik Ketua Setiausaha KKDW, sehingga kakitangan pasti cemerlang mustahil hanya 88 orang sahaja yang terima anugerah hari ini,” katanya lagi.

Terdahulu, seramai 88 orang pegawai yang terdiri daripada pelbagai gred telah dipilih untuk menerima APC di bawah KKDW bagi tahun 2023.

Penerima menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.

Manakala seramai 12 orang pegawai yang bersara akan menerima cenderamata yang bernilai RM600 seorang selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan – Peraturan Untuk Meraikan Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Bersara. – MalaysiaGazette