KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan komitmen menyokong sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050, melalui peralihan bertanggungjawab kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.

Peralihan ini menjanjikan peluang pertumbuhan yang ketara dan memastikan penciptaan nilai yang lestari untuk semua pihak berkepentingan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedang bersiap untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027 dengan perbelanjaan modal yang ketara bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia dan unjuran pertumbuhan permintaan elektrik.

“Kami bersedia untuk melaksanakan program menarik dalam NETR, memastikan Malaysia mencapai matlamat peralihan tenaganya. Dengan TNB mengetuai tanggungjawab itu, kami yakin dapat memupuk masa depan yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua,” ujarnya.

TNB memimpin tiga inisiatif utama teknologi bersih dan TBB berskala besar dalam NETR: Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) dan projek pembakaran bersama hidrogen dan amonia. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menjana lebih 3,000MW kapasiti TBB menjelang 2040, dengan anggaran 2,500MW daripada teknologi HHFS dan tambahan 500MW daripada lima LSSP.

TNB merancang untuk memasang HHFS sehingga kapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh menjelang 2025, dan syarikat sedang meneroka projek solar di atas tanah dengan kapasiti 100MW di Perak.

“Kami komited untuk memacu pertumbuhan dan mencapai sasaran sifar bersih, berpandukan Pelan Peralihan Tenaga. Dengan memberi tumpuan kepada tonggak tumpuan strategik kami – Sumber Tenaga, Vektor Tenaga dan Penggunaan Tenaga, kami menyasarkan untuk menyampaikan penjanaan tenaga bersih, membangunkan rangkaian peralihan tenaga serta mempromosikan solusi tenaga dinamik,” katanya.

“Pada 2023, sistem minit penghantaran kami dikekalkan pada 0.48 dan loji jana kuasa merekodkan faktor ketersediaan kukuh 83.3% sepanjang 2023, mempamerkan daya tahan dan kecekapan kami.

“Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) mencapai rekod tertinggi 88%, dilengkapi dengan Skor Indeks Pengalaman Pelanggan (CEI) lebih 90% merentasi semua platform, sekali gus mencerminkan dedikasi kami untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang luar biasa,” kata Megat Jalaluddin pada Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-34 di Ibu Pejabat TNB, Bangsar hari ini.

Pada 2023, TNB merekodkan pencapaian kewangan yang sigifikan dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 4.3%, mencecah RM53.07 bilion didorong oleh peningkatan 3.8% dalam permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dan Sabah. – MalaysiaGazette