Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat semalam bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak Dalam Sayur dan Buah Negeri Pahang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi mengawal penggunaan racun makhluk perosak dalam sektor perladangan sayur dan buah di negeri itu.

Objektif penubuhan jawatankuasa itu antara lain untuk menyelaras dan mengawal selia aktiviti pemantauan penggunaan racun makhluk perosak.

Selain itu, ia bagi memastikan kawalan penggunaan racun makhluk perosak bermula dari ladang sehingga di pasaran serta melaksanakan program latihan dalam kalangan pengusaha dan pengendali racun makhluk perosak.

“Ia juga bagi meningkatkan kerjasama antara agensi terlibat di sepanjang rantaian bekalan bermula dari ladang hingga ke pasaran, selain menyelaras dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut fungsi agensi masing-masing.

“Saya berharap dengan penubuhan jawatankuasa ini, kerajaan negeri dapat memastikan sayur dan buah yang berada di pasaran selamat dimakan dan mematuhi perundangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan, Ir Razali Kassim bersama lapan ahli jawatankuasa. – MalaysiaGazette