Zahid memberikan isyarat bagus selepas menyaksikan perlawanan sepaktakraw antara pasukan Malaysia dan Myanmar di Stadium Titiwangsa, semalam. Gambar: Facebook Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat meluangkan masa melihat beregu negara berjuang pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 semalam.

Berkongsi pengalaman tersebut beliau menyifatkan aksi itu sebagai sengit dan penuh debaran.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Noraizat Nordin dan Aidil Aiman serta seluruh pasukan atas kemenangan yang amat berharga buat Malaysia.

Duo negara itu layak ke final setelah menewaskan pasangan Myanmar 15-10, 17-16 sekali gus menempah pertemuan dengan Thailand hari ini.

Trio Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias turut mengesahkan tempat ke final acara regu menentang Thailand hari ini.

Mereka mengatasi Myanmar dibarisi Zin Ko Ko, Min Thant Thu dan Phay Nyein Chan Khin Maung Cho 2-0 (15-3, 15-11).

“Saya nak ajak seluruh rakyat Malaysia untuk ke Stadium Titiwangsa atau bersama-sama memberi sokongan di mana jua anda berada.

“Doa rakyat Malaysia mengiringi kejayaan pasukan sepak takraw negara. Mudah-mudahan juara, insya-Allah,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Facebook. – MalaysiaGazette