Mohd Ekhwan Toriman

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) yang terdiri terdiri daripada 20 naib canselor dan rektor UA menyifatkan penulis artikel Our Apartheid Academy, UiTM sebagai jahil.

Pengerusi JKNCR, Prof Datuk Gs Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, penulis berkenaan menampakkan kejahilan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia.

Menurutnya, artikel yang sama memperlihatkan penulis berat sebelah terhadap kaum Melayu kerana istilah bumiputera bukan merujuk kepada kaum itu sahaja.

“Dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah penulis yang secara tidak langsung hanya merujuk istilah Bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata,

“Sedangkan kaum bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat peribumi Malaysia termasuklah “orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak” (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153: 163),” katanya dalam kenyataan.

Justeru beliau menggesa penulis agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita demi keamanan bersama.

Menurut Mohd Ekhwan, kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan dan penulisan yang dikongsi harus membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina tetapi biarlah berdasarkan fakta.

“Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat selama ini kita pertahankan. Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara,” kata beliau.

Jawatankuasa tersebut menyokong kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang mahu semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengacau polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Tegasnya, Jawatankuasa JKNCR UA menyokong pendirian Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Wartawan veteran, Andrew Sia dalam tulisannya Our Apartheid Academy, UiTM di sebuah portal mengkritik tindakan pelajar UiTM yang memakai baju hitam baru-baru ini membantah tindakan untuk membuka kemasukan pelajar bukan bumiputera.

“Tidak seperti pelajar UiTM yang lebih berfikiran terbuka yang saya temui penunjuk perasaan ini sebenarnya mengisytiharkan bahawa universiti mereka harus menjadi contoh aparteid yang ketara.

“Saya merasa ironis bahawa Malaysia berjuang menentang aparteid oleh orang kulit putih menentang orang kulit hitam pada tahun 1980-an di Afrika Selatan tetapi masih menyokong akademi aparteid secara de facto di negara sendiri.

“Namun sesetengah bukan Melayu dibenarkan masuk ke UiTM dengan tangan terbuka tetapi hanya orang asing bukan Melayu. Ia ada di sana, dalam warna hitam dan putih (sebenarnya ungu dan putih) di laman web,” katanya.

Bagaimanapun tambah beliau kebanyakan orang bukan Melayu mungkin tidak mahu menghantar anak mereka ke UiTM untuk kursus biasa, memandangkan bantahan pelajar yang berunsur perkauman secara terbuka. – MalaysiaGazette