KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket penipuan pakej aplikasi android (APK) di rantau ini dengan tertangkapnya dua individu masing-masing di Johor dan Pulau Pinang, Rabu lalu.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bertindak atas waran tangkap, pihaknya bersama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Singapura telah melancarkan operasi bagi menahan 2 lelaki warga tempatan berusia 27 dan 48 tahun.

“Mereka disyaki ahli sindiket trojan spymax yang terlibat secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa yang giat melakukan penipuan di rantau asia khususnya di Singapura.

“Dua individu yang ditahan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor berperanan sebagai penjual malware dan pengurus sewaan server yang menempatkan fail APK,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ramli, pihkanya turut merampas tiga telefon pintar pelbagai jenama, satu passport, satu kad pengenalan dan seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM6,000.

Ramli juga berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya.

“Mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail APK yang perlu dipasang ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian.

“Fail APK yang diberi merupakan perisian bersifat malicious dan ia boleh menggodam telefon mangsa.

“Ia seterusnya memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca one time password (OTP) pada sistem pesanan ringkas (SMS), screen mirror, contact list, dan remote access kepada peranti milik mangsa,” katanya.

Katanya lagi, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

“Operasi ini merupakan hasil kerjasama PDRM dan polis Singapura hampir satu tahun dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan data identiti ahli-ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi internet/komputer dari beberapa negara berbeza.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

“Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast