Pesalah, Ramasamy Ponnusamy dibawa pegawai polis selepas dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan didenda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika di Mahkamah Majistret, Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak pengakuan bersalah seorang individu yang didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei lepas.

Pengakuan salah P. Ramasamy ditolak Mahkamah Tinggi yang disifatkan sebagai bersyarat kerana tertuduh yang berusia 66 itu tidak memahami pertuduhan itu.

Sebelum ini Mahkamah Majistret di bandar sama menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 ke atas lelaki itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Wendy Ooi Su Ghee mengambil keputusan tersebut selepas mendengar hujah peguam bela yang memohon semakan kehakiman terhadap keputusan itu.

“Pengakuan salah oleh pemohon seperti di buat di Mahkamah Majistret KKB (Kuala Kubu Baharu) adalah pengakuan bersyarat kerana dia tidak faham pertuduhan, kesan dan akibat pengakuan salahnya.

“Tertuduh juga menyebut bahawa dirinya tidak tahu penggunaan gambar Seri Paduka sebagai satu kesalahan. Disebabkan itu, kes dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret untuk dibicara,” katanya.

Sebelum ini Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu dilapor menerima pengakuan salah Ramasamy yang menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti politik dalam kawasan pilihan raya.

Dia dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Kesalahan itu didakwa bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tindakan itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH. – MalaysiaGazette