KUALA LUMPUR – Pesta hiburan di dalam sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tular berlaku di luar pengetahuan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menterinya, Anthony Loke yang menegaskan mengenai perkara itu berkata, KTMB telah memberi penjelasan dan menyatakan akan lebih tegas dalam garis panduan dan acara yang akan diadakan di tren miliknya pada masa depan.
Katanya, pihak KTMB ada menyatakan sejak 2021 tren berkenaan disewa khas untuk aktiviti korporat dan sebagainya dan aktiviti yang berlaku mungkin tidak dinyatakan secara jelas kepada KTMB.
“Tetapi ada garis panduan ditetapkan termasuklah tiada minuman alkohol dan sebagainya…itu ditetapkan sebagai pra syarat.
“Kadangkala apa yang berlaku itu mungkin di luar kawalan KTMB,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Wisma Monorel hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah rakaman memaparkan sekumpulan penumpang mengadakan pesta di dalam gerabak KTMB dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.
KTMB menerusi satu kenyataan selepas itu memaklumkan pihaknya akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (charter train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.
Ia susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun Pinkish Festival di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah pada Khamis lepas.
KTMB turut memaklumkan pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya. – MalaysiaGazette