Kredit POLRI

JAKARTA – Unit antikeganasan polis elit Indonesia (Densus 88), mengesahkan semula komitmennya untuk memantau dengan teliti aktiviti pengganas di negara itu berikutan serangan terbaru di sebuah balai polis di Malaysia.

Jurucakapnya, Pesuruhjaya Aswin Siregar menekankan dedikasi unit itu untuk menjejaki rangkaian pengganas dan pergerakan mereka tanpa henti.

“Densus 88 tetap teguh dalam kesediaannya untuk memantau aktiviti pengganas dengan teliti,” katanya, seperti yang dipetik oleh portal berita Kompas.com.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang awam bahawa setakat ini, berdasarkan analisis unit berkenaan, tiada peningkatan tahap ancaman pengganas yang diperhatikan di Indonesia.

Pada Jumaat, dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera dalam serangan oleh seorang suspek berusia 21 tahun di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, sebuah negeri di selatan Malaysia.

Walaupun pada awalnya terdapat kecurigaan mengenai penglibatan kumpulan Jemaah Islamiyah, baru-baru ini didedahkan bahawa tindakan suspek tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan itu. – BERNAMA