PUTRAJAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi tindak balas pengurusan bencana telah bersedia menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) yang telah bermula pada 17 Mei lalu.
Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), MBD akan menyebabkan cuaca menjadi lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan.
“Cuaca panas yang berpanjangan akan menyebabkan pelbagai kesan negatif dari aspek kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan, jerebu dan kekurangan hasil pertanian.
“Untuk menangani masalah ini, kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) telah bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta untuk keperluan operasi bencana tersebut.
“Selain itu, jabatan-jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah turut sama menyiapkan langkah kesiapsiagaan untuk mengurangkan risiko menghadapi MBD,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Operasi Pembenihan Awam akan dilakukan jika perlu dan setelah mendapat nasihat teknikal dari MetMalaysia serta ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia pada tarikh yang dicadangkan.
“Walaubagaimanapun, persediaan ini bukan hanya terletak di bahu agensi kerajaan tetapi juga orang awam yang perlu peka bagi mengelakkan risiko terkena strok haba.
“Mereka juga perlu memainkan peranan untuk mengurangkan impak cuaca panas terhadap bekalan air dengan berjimat cermat dan mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta tidak melakukan pembakaran terbuka,” tambahnya.
Kesiapsiagaan dan langkah-langkah proaktif yang diambil diharapkan dapat mengatasi kegusaran orang ramai dan menghindari penyebaran maklumat tidak tepat dalam menguruskan impak MBD itu nanti. – MalaysiaGazette