KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan memfailkan permohonan pembelaan berhubung saman yang dikemukakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dakwaan pembelian barangan mewah bernilai AS$346 juta menggunakan dana syarikat itu yang diselewengkan.
Selain 1MDB, terdapat 10 lagi pihak termasuk anak syarikat 1MDB yang bertindak sebagai plaintif menyaman Rosmah dan menuntut beliau membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan tarikh pembelaan pada 4 Julai depan bagi membolehkan Rosmah memfailkan penyataan manakala jawapan balas kepada pembelaan oleh 1MDB pada 2 Ogos depan.
Media melaporkan pengurusan kes seterusnya pada 14 Jun ini.
Anak syarikat 1MDB yang menyaman Rosmah ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.
Plaintif lain ialah syarikat pesisir luar, Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Rosmah dinamakan sebagai defendan pertama sementara Shabnam Naraindas Daswani atau dikenali sebagai Natasha Mirpuri sebagai defendan kedua.
Kesemua plaintif mendakwa Rosmah telah membeli atau telah dibelikan dengan barangan jenama termasuk barangan kemas, beg tangan, jam tangan dan lain-lain tidak menggunakan wang sendiri, sebaliknya menggunakan dana 1MDB dan anak syarikat.
Mereka mendakwa, dana itu juga telah diseleweng masuk ke pelbagai entiti akaun pesisir antaranya, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Alsen Chance sebelum bayaran itu disalurkan ke vendor tertentu.
Ia bertujuan membeli barangan mewah berkenaan iaitu sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489. – MalaysiaGazette